Monday, 5 September 2011

Berita/Hebahan

MAJLIS BERBUKA PUASA PERDANA DAPAT SAMBUTAN

Khamis, 25 Ogos - Lebih 200 tetamu telah hadir di Majlis Berbuka Puasa Perdana Surau Al-Muhtadin kali ini. Majlis dimulakan dengan bacaan yassin dan tahlil kira-kira pukul 6.45 petang dan turut disertai 25 pelajar tahfiz yang dipimpin oleh Utz. Ali Omar. Kemudian, disusuli pula dengan majlis berbuka puasa yang diadakan di perkarangan surau. Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Dato' Subahan Kamal, ADUN Templer bersama rombongannya. Beliau turut menyumbangkan bubur lambuk kepada tetamu yang hadir.
Selesai berbuka puasa, semua hadiran menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum kembali menjamu selera dengan menikmati 'nasi hujan panas'. Jamuan ini ditaja oleh Pengerusi Surau Al-Muhtadin, Dato' Ab. Rahim.
Walaupun tidak berkesempatan untuk bersolat terawih bersama penduduk Emerald East, namun YB Dato' Subahan sempat menghulurkan duit raya kepada kira-kira 100 kanak-kanak yang hadir.
Seterusnya, berlangsung pula solat terawih berjemaah yang dipimpin oleh Utz. Ali Omar dan kemudian diikuti dengan majlis khatam al-Quran beramai-ramai. Pada malam itu juga, majlis penyampaian hadiah sagu hati kepada imam-imam terawih, peserta-peserta khatam al-Quran, AJK surau dan kumpulan marhaban wanita turut berlangsung. Selain itu, penyampaian duit raya kepada kanak-kanak juga turut diadakan. Pada tahun ini, pihak surau memperuntukkan kira-kira RM1000 sebagai duit raya untuk kanak-kanak yang hadir pada malam tersebut. Majlis bersurai kira-kira pukul 11.30 malam.
                 
    

No comments: