Sebanyak 4 buah khemah yang didirikan di perkarangan Surau Al-Muhtadin telah musnah diterbangkan ribut dalam satu kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang pada hari Selasa, 9 Ogos 2011. Ribut dan hujan batu tersebut juga turut memusnahkan beberapa peralatan lain termasuk beberapa buah meja jamuan, kerusi dan sebahagian pagar surau. Kerugian dianggarkan kira-kira RM 10 000.00.
Memandangkan khemah-khemah tersebut tidak dapat digunakan lagi, program moreh yang berlangsung selepas solat sunat terawih terpaksa diadakan di kawasan yang terbuka. Ini tentunya menimbulkan ketidakselesaan dan kerisauan kepada jemaah-jemaah yang hadir, tambahan pula Ramadan masih lagi berbaki separuh bulan dan hujan kerap turun pada sebelah petang.
Sebagai hambaNya, kita hendaklah menerima kejadian ini dengan penuh redha dan keinsafan. Ini adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hambaNya dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya, kita haruslah bersyukur kerana telah dipilih oleh Allah SWT untuk menerima ujian tersebut, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Bagi menangani masalah ini, pihak surau telah melancarkan derma kilat untuk mengumpul dana bagi mendirikan satu unit berbumbung kekal di bekas tapak khemah tersebut. Kos untuk mendirikan unit berbumbung tersebut dianggarkan kira-kira RM6500 - RM7000.
Oleh kerana, unit berbumbung tersebut merupakan satu keperluan segera, pihak surau ingin memohon sumbangan ikhlas dan bantuan daripada anak-anak kariah dengan kadar segera juga. Tuan/puan yang berhajat berbuat demikian, bolehlah menghubungi AJK surau pada bila-bila masa.
No comments:
Post a Comment