SALAM MAAL HIJRAH 1433
Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi kita diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan tahun baharu dalam Takwim Hijrah atau Kalendar Bulan Islam, iaitu tahun 1433 Hijrah yang jatuh pada hari ini, 27 November 2011. Sesungguhnya kitalah insan yang bertuah kerana terus diberikan kesempatan untuk membuka lembaran baharu setelah sekian banyak kesalahan dan dosa yang dilakukan sebelum ini. Inilah peluang keemasan untuk kita mencorakkan kehidupan kita semula ke arah lebih positif sejajar dengan tuntutan agama tanpa mengabaikan keperluan duniawi.
Kita sangat beruntung sebenarnya. Kita masih diberikan ruang untuk memperbaiki diri, sedangkan sesetengah rakan kita telah pun kembali ke Rahmatullah dan tiada lagi peluang untuk berbuat demikian. Oleh itu, sewajarnyalah kita mengambil peluang ini untuk bermuhasabah dan menilai diri kita semula. Cubalah kita berlaku jujur terhadap diri kita sendiri biarpun ia mungkin pertama kali dalam hidup kita.
Bertanyalah kepada diri kita sendiri - apakah kita ini orang Islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran agama? Atau, apakah kita sebenarnya hanya berasa diri kita Islam dan sangat-sangat faham tentang Islam, tetapi pada masa yang sama kita sedang bergerak ke arah yang bertentangan dan tidak selari dengan tuntutan agama? Islam menuntut penyatuan umatnya, tetapi apakah kita telah bersatu? Islam juga menuntut kita mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan diri mahupun mana-mana individu, apakah kita melakukannya?
Ya, kita mengaku kita Islam. Kita akan melenting kalau dikatakan ‘tidak Islam’, ‘Islam celup’ dan sebagainya. Tetapi, sama ada kita sedar ataupun tidak, kita sebenarnya telah lama membuang semangat keIslaman itu jauh-jauh. Kita hanya mengaku kita ini umat Muhammad SAW paling baik, tetapi di mana 'jiwa Muhammad' itu di dalam diri kita? Ke manakah perginya nilai-nilai persaudaraan kita sebagai sebangsa dan seagama pada saat kita berterusan diasak oleh mereka yang suka memperlecehkan kita?
Jadi, sekiranya peluang untuk berhijrah ini tidak kita menterjemahkannya dengan erti penghijrahan yang sebenar baik dari segi pemikiran, perlakuan dan penghayatan, maka kita ini sebenarnya apa?
Bangunlah. Kita masih belum terlambat untuk berhijrah!
Salam Maal Hijrah 1433!!
INFOMASI RINGKAS TENTANG TAKWIM HIJRAH
- Takwim Hijrah mengandungi 12 bulan Islam - Muharam, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
- Nama bulan-bulan Islam diberikan oleh Kilab bin Murah, iaitu moyang atau datuk Nabi Muhammad SAW yang kelima (Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murah). Beliau menamakannya berdasarkan musim dan peristiwa yang dialami penduduk Semenanjung Tanah Arab ketika itu.
- Takwim Hijrah atau Kalendar Bulan Islam mula diwujudkan pada tahun ke-17 Hijrah. Sayidina Umar al-Khattab RA telah mengumpulkan beberapa orang sahabat untuk menetapkan tarikh permulaan tahun Kalendar Islam. Sayidina Ali RA mencadangkan supaya pengiraannya bermula dari tarikh Rasulullah SAW mula berhijrah dari Makkah ke Madinah. Sayidina Uthman bin Affan RA pula mencadangkan supaya bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam Kalendar Islam. Akhirnya, para sahabat bersetuju bahawa 1 Muharam tahun pertama Hijrah bersamaan 16 Julai 622 Masihi sebagai permulaan Takwim Hijrah.
- Jumlah hari bagi 1 tahun Takwim Hijrah ialah 354 hari, manakala jumlah hari bagi 1 tahun Masihi pula ialah 365 atau 366 hari (tahun lompat).
No comments:
Post a Comment